global

'Tolong saya kuruskan badan'

Oleh Agensi

JAKARTA: Seorang wanita obes dengan berat badan sekitar 350 kilogram (kg) merayu bantuan untuk membolehkannya mendapat rawatan supaya dapat kurus.

Titi Wati, 37, dari Palangka Raya, hanya mampu tertiarap di tempat tidurnya kerana langsung tidak dapat bergerak disebabkan saiznya, jauh berbeza daripada beratnya yang cuma 60kg satu ketika dulu, lapor inews.id.

“Saya berharap kerajaan dapat memberikan bantuan kepada saya untuk rawatan menurunkan berat badan yang sudah mencapai lebih 350kg,” katanya dipetik Antara News.

Suri rumah itu berkata, berat badannya meningkat secara mendadak sejak tujuh tahun lalu sehingga ada yang menganggapnya wanita paling gemuk di Kalimantan Tengah.

Menurutnya, dia pernah cuba mengambil minuman herba untuk menurunkan berat badan, malah menunjukkan hasil pada awalnya.

“Bagaimanapun, minuman herba itu sangat mahal dan saya tidak mampu terus membelinya. Disebabkan itu, tabiat pemakanan saya kembali kepada yang asal.

“Saya tidak mampu mengawal makan minum sehingga berat badan saya ketika itu 167kg melonjak,” katanya dipetik Liputan6.

Portal Republika memetik Titi mengakui gemar makan kudapan dan minum minuman berais.

Disiarkan pada: January 8, 2019 @ 1:02pm
d