global

10 hari sesat kerana malu

Oleh Agensi

Singapura: Gara-gara terlampau malu, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, menghabiskan masa selama 10 hari sebagai gelandangan di Singapura kerana malu untuk bertanya orang ramai arah ke pangsapuri yang didiaminya.

Menurut laporan The Independent yang memetik sebuah akhbar berbahasa Cina, Zhang Daming dari Malaysia datang ke Singapura pada Disember lalu untuk mencari kerja dan menumpang di pangsapuri bersama rakannya yang sudah bekerja di sana.

Pada hari kehilangan Zhang, rakan sebilik memberinya wang belanja S$50 (RM151) sebelum pergi kerja kerana Zhang hanya mempunyai wang dalam ringgit Malaysia.

Dengan wang itu, dia menuju ke kafe berdekatan untuk membeli makanan tengah hari tetapi apabila keluar dari premis itu dia tidak dapat mengingati jalan pulang.

Zhang yang tidak membawa telefon bimbit berkata, dia berasa keliru kerana baginya setiap pangsapuri kelihatan sama.

“Saya seorang yang pemalu. Saya tidak tahu latar belakang masyarakat Singapura, jadi saya tidak berani untuk meminta bantuan atau meminjam telefon sesiapa malah saya tidak menemui balai polis,” kata remaja itu selepas diselamatkan.

Lebih memburukkan lagi, apabila Zhang meninggalkan telefon, pasport dan semua wangnya di apartmen.

Justeru, dia tidak mempunyai cara lain untuk menghubungi rakannya selain meminta bantuan orang lain tetapi itu bukanlah pilihannya sama sekali.

Selama 10 hari tersesat di Kota Singa itu, Zhang hanya tidur di luar bangunan pangsapuri, menggunakan tandas awam di pusat beli-belah dan restoran dan lebihan wang digunakan membeli nasi bajet.

“Ketika 24 jam pertama, saya tidak berani tidur. Saya akan berjalan dari pagi hingga ke subuh.

“Hari ke-tiga, saya terpaksa mengemis disebabkan terlalu lapar dan haus tetapi saya tidak berani meminta makanan. Dalam dua hari, saya hanya bertanya kepada enam atau tujuh orang dan mendapat antara satu ke dua dolar,” kata Zhang.

Pun begitu, pada 6 Januari lalu, seorang penduduk tempatan mengenali Zhang menerusi pengumuman orang hilang dan melaporkan kepada pihak berkuasa.

Zhang ditemui di taman permainan, kira-kira enam kilometer dari pangsapuri rakannya.

Menurut Nanayang, rakan sebiliknya melaporkan kehilangan Zhang selepas dia gagal pulang ke rumah pada hari yang sama.

Remaja itu akhirnya dihantar pulang dengan menaiki bas ke Kuala Lumpur beberapa hari lalu.

Katanya kepada pemberita, dia tidak akan kembali ke Singapura kerana takut tersesat lagi.

Disiarkan pada: January 11, 2019 @ 8:27pm
d