global

21 pelombong arang batu maut

Oleh AFP

BEIJING: Angka maut dalam runtuhan bumbung lombong arang batu di utara China meningkat kepada 21 orang selepas penyelamat menemui dua lagi mayat pelombong hari ini, lapor media tempatan.

Sejumlah 87 orang bekerja dalam lombong bawah tanah di wilayah Shaanxi ketika kemalangan tengah hari semalam, menurut agensi rasmi Xinhua, memetik pihak berkuasa tempatan.

Penyelamat mencari dua lagi mayat pelombong terperangkap dan menemui mereka maut pagi ini, lapor Xinhua. Tambahan 66 pelombong selamat dikeluarkan.

Punca kemalangan di lombong dikendalikan Baiji Mining, masih disiasat.

Lombong arang batu persendirian di China kurang mengambil berat isu keselamatan berbanding syarikat lebih besar milik kerajaan.

Oktober lalu, 21 pelombong maut di wilayah timur Shandong selepas tekanan dalam lombong menyebabkan batu merekah dan pecah, menyekat lombong serta memerangkap pekerja. Hanya seorang pelombong berjaya diselamatkan hidup-hidup.

Disiarkan pada: January 13, 2019 @ 12:16pm
d