global

15 maut pesawat tentera Iran terhempas

Oleh Reuters

DUBAI: Sebuah pesawat kargo Boeing 707 milik tentera Iran terhempas akibat cuaca buruk di barat Teheran hari ini menyebabkan 15 maut dan seorang lagi selamat, kata tentera Iran.

Tentera Iran dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Fars memberitahu, seorang juruterbang selamat dan dibawa ke hospital.

Pesawat itu terhempas berhampiran lapangan terbang Fath berdekatan Karaj di tengah wilayah Alborz.

“Sebuah pesawat kargo Boeing 707 yang membawa muatan daging dari Bishkek di Kyrgyzstan melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Fath hari ini.

“Pesawat itu terlajak di landasan ketika mendarat dan terbakar selepas melanggar tembok sebelum termasuk ke kawasan perumahan di hujung landasan.

“Jurutera penerbangan yang selamat segera dibawa ke hospital,” kata kenyataan itu.

Disiarkan pada: January 14, 2019 @ 8:25pm
d