global

Anastasia dihantar pulang

Oleh AFP

PATTAYA: Seorang model warga Belarus yang mendakwa mempunyai bukti usaha Russia membantu kemenangan Donald Trump dijangka akan dihantar pulang selepas didapati bersalah menyertai ‘kursus latihan seks’ di Thailand setahun lalu.

Anastasia Vashukevich yang turut dikenali sebagai Nastya Rybka, ditahan bersama tujuh yang lain selepas polis menyerbu sebuah pusat peranginan di Pattaya Februari lalu.

Dia dipercayai ke Thailand selepas terbabit dalam skandal politik dengan hartawan aluminium, Oleg Deripaska. Deripaska pernah dikaitkan dengan bekas pengarah kempen Trump, Paul Manafort.

Ketua imigresen Thailand, Surachate Hakparn berkata mereka akan dipindahkan ke pusat tahanan imigresen di Bangkok dan dihantar pulang.

“Mereka disenarai hitam dari masuk ke Thailand selama-lamanya kerana melakukan perkara yang buruk.”

Disiarkan pada: January 15, 2019 @ 10:12pm
d