global

YouTube larang siar jenaka bahaya

Oleh AFP

SAN FRANCISCO: Laman perkongsian video terkemuka, YouTube, semalam menjelaskan peraturan menghalang penyiaran video jenaka bahaya, kerana ‘cabaran’ berisiko mendorong orang ramai merakamkan diri mereka melakukan perbuatan seperti menggigit sabun pencuci atau memandu sambil menutup mata.

Syarikat itu sudah pun melarang kandungan mendorong aktiviti bahaya yang mengakibat kecederaan serius.

Namun penerangan itu ‘menunjukkan dengan jelas bahawa cabaran seperti Tide pod atau cabaran Api, yang boleh menyebabkan kematian dalam keadaan tertentu, tiada tempat dalam YouTube, kata syarikat berkenaan.

“Kami mahu menjelaskan bahawa dasar kami melarang kandungan membahayakan juga terpakai kepada jenaka yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal serius,” kata YouTube, yang seperti rangkaian sosial lain cuba menunjukkan ia lebih baik dalam menangani kandungan bermasalah.

Ia juga menjelaskan dasar yang dikemaskini melarang jenaka bahaya yang memperdaya orang ramai menyangka mereka dalam bahaya, seperti memalsukan pecah rumah atau kes tembakan sambil memandu kenderaan.

“YouTube adalah tempat kepada banyak cabaran tular dan jenaka yang disukai ramai, seperti ‘Terrible Christmas Presents’ oleh hos Jimmy Kimmel, atau cabaran melontar botol minuman.

“Kami mempunyai dasar untuk memastikan jenaka tidak melanggar batas sehingga membahayakan,” kata YouTube, yang dimiliki syarikat induk Google, Alphabet.

‘Cabaran Api’ mencabar orang ramai menyimbah diri dengan cecair mudah terbakar kemudian menyalakan api manakala ‘Cabaran Tide Pod’ membabitkan orang ramai, terutama remaja, menggigit atau mengunyah cecair pencuci berwarna-warni.

Disiarkan pada: January 16, 2019 @ 4:35pm
d