global

Bunuh rakan enggan beri wang beli dadah

Oleh AFP

PARIS: Seorang lelaki membunuh rakannya dan membuang bahagian mayat mangsa ke dalam longkang kerana marah tidak diberikan wang untuk membeli dadah.

Jenayah ngeri itu berlaku di bandar Issoire, dan disedari apabila pemilik salun rambut menghubungi tukang paip selepas seorang pelanggan melaporkan tandas tersumbat.

Sebaik membuka pintu perangkap yang membawa ke longkang, tukang paip berkenaan menemui cebisan daging yang disahkan datang daripada mayat sama oleh ujian forensik.

Siasatan kemudian membawa kepada pangsapuri di atas salun itu, yang menyaksikan polis menemui kesan darah pada dinding dan langsir, gergaji dan otak serta hati manusia di dalam ruang beku.

Mereka mengenal pasti lelaki yang disyaki menjadi mangsa dan mengunjungi rumahnya, dan menemui kesan darah.

Rakaman kamera keselamatan bandar itu menunjukkan suspek, 36, menaiki kereta api pada 10 Januari lalu selepas membuang tiga beg besar mengandungi pakaian dicemari darah ke dalam tong sampah.

Penagih dadah tidak bekerja dengan siri sabitan dadah dan curi itu ditangkap sekembalinya ke Issoire sehari kemudian.

Pendakwa raya awam di wilayah Clermont-Ferrand, Eric Maillaud, berkata suspek mengaku membunuh rakannya yang berusia 45 tahun kerana mangsa enggan memberikan wang kepadanya untuk membeli dadah.

Suspek ialah penghidap skizofrenia yang pernah dimasukkan ke hospital mental dua kali. Polis tidak menamakan suspek.

Mangsa, yang juga penagih dadah, dan tidak dinamakan mewarisi sejumlah besar wang, kata penyiasat.

Disiarkan pada: January 17, 2019 @ 4:44pm
d