global

Pembunuh tamak dijel

Oleh AFP

London: Tiga lelaki dipenjara seumur hidup kelmarin kerana membunuh lima orang ketika meletupkan sebuah pasar raya dalam usaha mendapatkan wang insurans.

Pemilik kedai, Aram Kurd, Hawkar Hassan dan Arkan Ali menyebabkan kebakaran di pasar raya untuk orang Poland itu di Leicester, England pada Februari tahun lalu, yang mengakibatkan kemusnahan teruk terhadap premis berkenaan serta kediaman di atasnya.

Mereka merancang mengaut keuntungan insurans sebanyak £300,000 (RM1.6 juta).

Hakim Mahkamah Crown David Holgate dalam penghakimannya berkata: “Tak seorangpun tertuduh nampak menyesal dengan perbuatan keji mereka itu. Mereka langsung tidak berhati perut malah penipu.

“Sikap Aram dan Arkan sepanjang prosiding juga jelas menunjukkan mereka amat bijak manipulasi serta licik.”

Suspek menyimbah petrol di bilik bawah tanah bangunan berkenaan mengakibatkan letupan yang memusnahkan pasar raya serta kediaman di atasnya.

Seorang pekerja Viktorija Ijevleva, 22, dibiarkan mati dalam letupan itu kerana dia tahu mengenai perancangan mereka susulan polisi insurans berkenaan diambil kurang tiga minggu sebelumnya.

Viktorija dan seorang ibu, Mary Ragoobeer, 46, bersama dua anak lelakinya yang masih remaja, Shane serta Sean, selain teman wanita Shane, Leah Beth Reek, 18, semuanya maut dalam kejadian itu.

Aram, 38, Hawkar, 33, dan Arkan, 34, didapati bersalah atas lima tuduhan bunuh dan satu tuduhan bersubahat dengan Viktorija untuk meraih keuntungan secara tidak jujur dengan membuat tuntutan insurans berkenaan.

Mereka ditahan tiga hari selepas letupan itu.

Ali dan Arkan masing-masing dipenjara 38 tahun, manakala Hawkar dijel 33 tahun.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 6:01am
d