global

Gerhana bulan menakjubkan di AS malam esok

Oleh Reuters

NEW YORK: Peminat astronomi di seluruh Amerika Syarikat berpeluang menyaksikan gerhana bulan penuh yang mengagumkan, jika tidak dihalang oleh keadaan cuaca.

Peminat bidang itu dari Los Angeles hingga New York akan menyaksikan kejadian berkenaan, dikenali sebagai super blood wolf moon, dijangka berlaku pada 8.41 malam waktu Los Angeles esok.

Walaupun ia gerhana penuh, bulan tidak akan gelap sepenuhnya sebaliknya cuma menjadi sinaran merah keperang-perangan - digelar bulan berdarah.

Ia juga adalah bulan penuh yang dekat dengan Bumi, digelar supermoon.

Disebabkan ia berlaku pada Januari, ketika serigala melolong kelaparan di hujung kampung, ia juga digelar wolf moon, menurut The Farmers Almanac.

Namun, tidak kira bagaimana sempurnanya barisan bintang untuk kejadian ini, keterujaan atau kekecewaan bergantung kepada satu perkara iaitu cuaca.

Jika langit cerah malam esok di Amerika Syarikat, gerhana bulan penuh menakjubkan itu dapat dilihat dengan mata kasar.

Tidak seperti gerhana matahari, yang memerlukan perlindungan mata untuk menikmati pemandangan itu, tiada langkah lanjut diperlukan untuk melihat gerhana bulan.

Namun jika awan menjejaskan penglihatan, ia masih dapat dilihat menerusi internet.

Peluang seterusnya bagi rakyat AS untuk menyaksikan gerhana bulan penuh adalah pada 2022.

Disiarkan pada: January 20, 2019 @ 8:47pm
d