global

20,000 wanita Nigeria dipaksa jadi pelacur

Oleh Reuters

LAGOS: Seramai 20,000 wanita dan remaja perempuan dari Nigeria dikhuatiri terjebak dalam kegiatan pemerdagangan manusia di Mali, kata ketua agensi anti pemerdagangan Nigeria.

Ketua Pengarah Agensi Kebangsaan Larangan Pemerdagangan Manusia (NAPTIP), Julie Okah-Donli, berkata berpuluh-puluh wanita dan remaja perempuan dihantar balik dari daerah Kangaba di selatan Mali pada November 2018.

Pasukan yang diarahkan untuk menyiasat kawasan itu mendapati terdapat beratus-ratus lagi wanita ditahan di sana.

“Menurut penduduk tempatan, mereka mempunyai lebih 200 tempat yang sama di sekitar selatan Mali. Sekurang-kurangnya 100 ke 150 orang wanita di kurung di setiap pondok dan seramai 20,000 wanita sudah dikurung setakat ini,” katanya.

Kumpulan wanita dan remaja perempuan berusia antara 16 hingga 30 tahun itu dikatakan akan dibawa ke Malaysia untuk bekerja dalam bidang hospitaliti sebaliknya dipaksa terbabit dalam aktiviti pelacuran.

“Mereka dikurung dalam keadaan dahsyat, seperti hamba. Mereka juga tidak dapat melepaskan diri kerana disorok dalam lokasi tidak diketahui seperti hutan terpencil,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2019 @ 3:33pm
d