global

Krisis politik Venezuela boleh jadi bencana

Oleh AFP

Davos, Switzerland: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, merayu berdialog dengan Venezuela bagi mengelakkan krisis politik menjadi luar kawalan selepas pemimpin pembangkang, Juan Guaido, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara.

“Kami berharap dialog boleh diadakan bagi mengelak keadaan menjadi lebih buruk yang boleh membawa kepada konflik bencana kepada rakyat Venezuela dan rantau berkenaan,” katanya di Forum Ekonomi Dunia di Davos.

Amerika Syarikat, Brazil dan beberapa lagi negara mengiktiraf tindakan Guaido membuat perisytiharan itu yang menggulingkan Presiden Nicolas Maduro ketika bantahan berleluasa di seluruh negara yang dicengkam kemelesetan ekonomi itu.

“Kerajaan yang berdaulat mungkin boleh menentukan apa yang mereka mahu.

“Namun apa yang kita bimbangkan keadaan di Venezuela ialah penderitaan rakyatnya,” kata Guterres melalui siaran langsung Facebook itu.

Pemerintahan Maduro gagal mengatasi masalah ekonomi Venezuela, negara kaya dengan minyak namun jutaan rakyat menjadi miskin akibat kejatuhan nilai mata wang terburuk.

Rakyat menghadapi masalah mendapatkan keperluan harian, termasuk makanan dan ubat yang dicatu selain kadar jenayah yang amat tinggi.

Menurut PBB, kira-kira 2.5 juta rakyat negara itu melarikan diri ke negara lain sejak 2015 manakala Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) menyatakan inflasi akan mencapai 10 juta peratus tahun ini.

Disiarkan pada: January 25, 2019 @ 10:14am
d