global

Lastik halau monyet

Oleh Reuters

New Delhi: Polis kini dibekalkan lastik sebagai senjata terhadap monyet yang mengganggu pelawat ke monumen terkenalnya, Taj Mahal.

Kumpulan monyet mencari makan di kawasan sekitar bangunan kurun ke-17 di Agra, utara India itu, susulan beg pengunjung diperiksa dan makanan yang ditemui di dalamnya akan dibuang.

Ketua pasukan keselamatan Taj Mahal, Brij Bhushan berkata, polis diberikan lastik buatan tempatan untuk menghalau monyet.

“Kami mendapati monyet takut apabila melihat kami membawa lastik,” katanya kepada Reuters.

Terdapat antara 500 hingga 700 monyet di dalam dan di sekitar monumen berkenaan dan pakar berkata, kumpulan itu semakin agresif disebabkan habitat semula jadi diceroboh penduduk bandar yang semakin berkembang itu.

Pada November lalu, seekor monyet menarik budak lelaki berusia 12 tahun daripada ibunya di luar Agra sebelum membunuhnya.

Pengawal Taj Mahal diarahkan tidak menyerang monyet berkenaan, sebaliknya sekadar mengusir mereka, kata Bhushan.

Taj Mahal yang dibina seorang Maharaja Mughal untuk isterinya, menerima 25,000 pengunjung sehari, malah pada waktu puncak sehingga 80,000 pelancong mengunjunginya.

Monyet juga menyebabkan gangguan di New Delhi, apabila mencuri makanan dan telefon bimbit, malah memecah masuk kediaman selain mengganggu orang ramai di ibu negara itu.

Disiarkan pada: January 26, 2019 @ 4:01am
d