global

[UPDATED] 34 sah maut, 300 masih hilang

Oleh AFP

BRUMADINHO: Seramai 34 orang disahkan maut, manakala hampir 300 lagi dilaporkan masih hilang, dalam kejadian empangan runtuh di sini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, empangan yang dibina berhampiran bandar Belo Horizonte di Minas Gerais melimpahkan jutaan tan lumpur ke arah kawasan kemudahan, ladang dan kawasan berdekatan bandar Brumadinho.

Puluhan helikopter turut digunakan dalam operasi menyelamat sejak semalam, disebabkan lumpur tebal yang menenggelamkan bangunan, kenderaan dan jalan raya.

Pasukan penyelamat mengumumkan, angka kematian dijangka meningkat apabila lebih banyak mayat ditemui terperangkap dalam lumpur.

Menurut data yang dikeluarkan oleh syarikat perlombongan, Vale, hampir 300 mangsa yang masih hilang itu adalah pekerja lombong.

Sehingga kini, lebih 170 mangsa berjaya diselamatkan dan daripada jumlah itu, seramai 23 orang dirawat di hospital kerana cedera.

Bencana itu merupakan kes terbesar yang pertama dihadapi Presiden Brazil Jair Bolsonaro sejak beliau memegang jawatan itu pada Januari lalu.

Disiarkan pada: January 27, 2019 @ 12:47pm
d