global

Video jiran bergaduh popular di Internet

Oleh Agensi

LONDON: Pertengkaran pelik antara dua jiran dirakam di United Kingdom dengan kedua-duanya melepas geram mencampakkan kepingan kayu serta penyapu di sebalik pagar menjadi popular apabila ditonton lebih sejuta kali selepas tular di media sosial.

Pergaduhan itu bermula apabila seorang daripada dua lelaki berkenaan mencampak sekeping kayu panjang ke arah jirannya di sebalik pagar sebelum terus mengambil satu lagi kayu untuk dibaling, lapor Daily Mail.

Jirannya terus mencampakkan semula kayu berkenaan manakala seorang wanita muncul dengan tangannya diangkat tinggi mungkin sebagai cubaan menenangkan keadaan dengan mengangkat tangannya.

Malangnya, wanita itu masuk semula ke rumah apabila hampir menjadi mangsa ‘kayu terbang.’ Dia kemudian keluar sekali lagi, kali ini membawa penyapu yang turut dibalingnya melepasi pagar lawannya.

Tidak lama selepas itu, penyapu berkenaan ‘terbang’ semula ke rumah asalnya.

Pertengkaran pelik itu berterusan sambil diperhatikan seorang wanita dan anjingnya di tingkat atas satu daripada rumah terbabit, sehingga kedua-dua pihak masuk ke kediaman masing-masing seterusnya menamatkan perang berkenaan.

Video dimuat naik ke Twitter pada Sabtu lalu itu sudah dilihat lebih 1.82 juta kali.

Ia disertakan keterangan: “Tidak perlu jam loceng di rumah nenek saya apabila berlaku ‘perang papan’ pada jam 8 pagi.”

Video itu menerima pelbagai komen termasuk seorang pengguna Twitter yang berkata, ia memerlukan kesan bunyi seperti pedang ‘lightsabre’ dalam filem Star Wars malah disertakan tanda pagar #pew #pew.

Tidak diketahui apa punca pergaduhan atau di mana kejadian berlaku.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 11:14am
d