global

Takut ke sekolah selepas didenda tekan tubi

Oleh Agensi

Jakarta: Seorang murid perempuan takut untuk ke sekolah selepas mendakwa pengetua mendendanya melakukan tekan tubi sebanyak 100 kali hanya kerana tidak membayar yuran sekolah.

Jakarta Post melaporkan, murid berusia 10 tahun itu mendakwa dia didenda minggu lalu selepas bertemu dengan pengetua terbabit.

Katanya, dia terlalu takut untuk kembali ke sekolah selain perutnya berasa sakit selepas melakukan denda itu.

“Pengetua menyuruh saya melakukan tekan tubi. Dia berkata saya tidak akan diberikan kad laporan jika masih gagal membayar yuran,” katanya.

Menurutnya, ia bukan kali pertama berlaku kerana sebelum ini pernah dikenakan tindakan sama oleh pengetua.

Pengetua sekolah terbabit, Budi mengesahkan dia mengenakan denda itu tetapi menafikan ia bukanlah hingga 100 kali tekan tubi.

Jelasnya, murid itu didenda kerana ibu bapanya gagal membayar yuran tuisyen lebih 10 bulan.

“Ia hanya tindakan yang terpaksa diambil tetapi bukan hingga 100 kali tekan tubi sebaliknya hanya 10 kali dan kami berbincang selepas itu.

“Kami memahami keadaan murid dan sebab itu mereka tidak dikenakan terlalu banyak denda tekan tubi,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2019 @ 9:22pm
d