global

Polis wanita tolong suspek lari

Oleh AFP

LOMBOK: Seorang polis wanita ditahan kerana dipercayai mengambil rasuah untuk membantu suspek dadah Perancis meloloskan diri dari penjara, kata pihak berkuasa semalam dalam pada banduan berkenaan masih diburu.

Pegawai yang juga ketua keselamatan banduan di pusat penahanan di Lombok itu menerima kira-kira Rp14.5 juta (RM4,200) sebelum Felix Dorfin melarikan diri dari penjara, dua minggu lalu, kata polis.

Pegawai yang hanya dikenali sebagai TM itu didakwa menerima wang berkenaan selepas dipindahkan ibu bapa Dorfin sebelum banduan itu hilang, kata polis. Sebahagian daripadanya digunakan bagi membeli barangan untuk Dorfin termasuk telefon bimbit bersertakan kad SIM, selain selimut yang kemudian dipercayai digunakan untuk meloloskan diri, kata pihak berkuasa.

Warga Perancis berusia 35 tahun itu ditahan pada September lalu kerana membawa bagasi berisi empat kilogram dadah termasuk kokain, ekstasi dan amphetamine di lapangan terbang pulau bersebelahan Bali itu.

Dorfin menunggu dibicarakan dan berdepan hukuman mati.

Jurucakap polis Nusa Tenggara Barat Agus Salim memberitahu wartawan: “Wang itu dipindahkan oleh ibu bapa suspek.”

Disiarkan pada: February 1, 2019 @ 9:49pm
d