global

Cacing parasit ubah jadi kaki gajah

Oleh Agensi

ISLAMABAD: Kaki seorang bapa tiba-tiba berubah menjadi keras seperti batu selepas digigit nyamuk menyebabkan kakinya membengkak dua kali ganda dari saiz normal.

Shahid Hussain, 38, menderita penyakit elephantiasis iaitu jangkitan parasit yang akan membuatkan tubuh seseorang membesar secara luar biasa.

The Sun melaporkan, bapa lima anak dari Pakistan itu, berkata: “Kehidupan normal saya berubah sejak lima tahun lalu selepas kaki saya mula membengkak.

“Pada mulanya, saya anggap semuanya akan menjadi seperti biasa tetapi penyakit ini menyebabkan saya sering terbaring disebabkan beratnya kini mencapai 44.4 kilogram dan saya hampir tidak mampu berjalan.”

Shahid sebelum ini bekerja di garaj kereta tetapi selepas ditimpa penyakit dia tidak lagi bekerja menyebabkan seluruh ahli keluarganya bergantung kepada ehsan dan bantuan ahli keluarga lain.

Isteri beliau Fatima berkata, untuk menampung perbelanjaan harian, mereka mengeluarkan kesemua wang simpanan termasuk yang disimpan untuk majlis perkahwinan anak perempuannya malah terpaksa menjual barang kemasnya.

Beberapa doktor yang ditemui di Karachi tidak mampu merawat penyakitnya itu sebaliknya menasihati beliau untuk mendapatkan rawatan di hospital yang lebih besar di ibu negara Islamabad.

Menurut Fatima: “Doktor menasihati kami untuk dapatkan rawatan di Institut Sains Perubatan Pakistan di Islamabad untuk menjalani pembedahan tetapi kami tidak berkemampuan.

“Kami tidak mempunyai wang untuk pergi ke Karachi, apatah lagi ke Islamabad yang memerlukan perbelanjaan tinggi di sana dan kami tidak mempunyai saudara di sana yang boleh membantu.

“Kami berharap selepas melihat keadaan Shahid, orang ramai akan tampil membantu.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan sekurang-kurangnya seramai 120 juta orang di seluruh dunia dijangkiti penyakit elephantiasis terutamanya penduduk di negara-negara membangun kerana cenderung mendapat gigitan nyamuk. - Agensi

Disiarkan pada: February 4, 2019 @ 3:16pm
d