global

Jepun halang wartawan ke Yaman

Oleh AFP

TOKYO: Kerajaan Jepun mengarahkan seorang wartawan veteran bebas agar menyerahkan pasport untuk menghalangnya daripada membuat laporan dari Yaman.

Keputusan itu dibuat ketika perdebatan hangat di Jepun mengenai sama ada wartawan perlu dihalang memasuki zon perang selepas kes penangkapan dan pembebasan seorang wartawan Jepun di Syria tahun lalu.

Kosuke Tsuneoka, 49, memberitahu media tempatan bahawa pegawai imigresen menghentikan perjalanan beliau di lapangan terbang Haneda Tokyo pada 2 Februari lalu, dan beliau diperintah untuk menyerahkan pasportnya.

Menteri Luar, Taro Kono, semalam berkata kerajaan mengeluarkan perintah itu kepada ‘seorang lelaki Jepun’ di lapangan terbang Haneda.

Ditanya sama ada tindakan itu melanggar hak Tsuneoka, Kono berkata wartawan terbabit berhak mendapatkan bantuan undang-undang.

“Saya ingin menyatakan rasa hormat kepada wartawan yang membuat laporan dari tempat berbahaya,” kata Kono, sambil menolak untuk mendedahkan butiran lain.

Tsuneoka dalam perjalanan untuk pergi ke negara-negara perang melalui Qatar dan Sudan.

Langkah itu diambil Jepun ke atas mereka yang sanggup merisikokan keselamatan selepas kejadian pembunuhan dan penculikan wartawan dan warga Jepun lain di Timur Tengah.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 5:01pm
d