global

Lima terbunuh akibat letupan mercun

Oleh Agensi

BEIJING: Lima individu maut dalam satu kejadian letupan mercun di selatan China, beberapa jam sebelum awal Tahun Baru Lunar.

South China Morning Post melaporkan, letupan itu berlaku sekitar jam 2 pagi (waktu tempatan) semalam di daerah Rongan di wilayah selatan Guangxi, di luar sebuah kedai yang disyaki menyimpan dan menjual bahan peledak secara haram, kata agensi berita Xinhua.

Letupan itu menyebabkan kebakaran ke atas empat buah rumah, membunuh lima orang dan memaksa 14 yang lain mengosongkan rumah segera.

Menurut satu laporan, pemilik kedai dikenali sebagai Zhang, ditangkap kerana disyaki menyebabkan letupan itu.

Kebakaran berjaya dipadamkan pada jam 5 pagi (waktu tempatan).

Pada Februari tahun lalu, empat individu maut dan lima cedera dalam satu letupan apabila seorang lelaki di Yuxi di wilayah Yunnan cuba membakar mercun.

Berita itu mencetuskan perbincangan di platform atas talian Weibo, yang menggesa kerajaan mengadakan lebih banyak tindakan.

“Ia perlu diharamkan. Bukan sekadar menyiarkan beberapa artikel dalam talian, meletakkan beberapa sepanduk, atau melalui kata-kata, tetapi dengan mengharamkan penghasilan mercun sebagai punca tercetusnya kebakaran,“ seseorang meluahkan pendapatnya.

“Kerajaan tidak melaksanakan tugas secukupnya untuk mengharamkan mercun. Saya harap mereka dapat mengetatkan dasar dalam Tahun Babi ini, “ kata seorang lagi.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 5:08pm
d