global

Pope Francis akui berlaku penderaan seksual

Oleh AFP

VATICAN CITY: Pope Francis buat pertama kalinya mengaku terdapat paderi Gereja Katolik yang menjadikan biarawati sebagai hamba seks dan kemungkinan masalah itu masih berterusan.

Dia membuat pendedahan itu ketika menjawab soalan wartawan mengenai kes penderaan seksual membabitkan biarawati sebaik pulang dari lawatannya di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Terdapat segelintir paderi dan biskop yang melakukannya.

“Saya merasakan perbuatan itu masih berterusan kerana masalah ini bukan boleh lenyap begitu saja,” katanya.

Menurutnya, gereja sudah mengambil tindakan penggantungan terhadap beberapa pendeta dan Vatican cuba menangani masalah itu sejak sekian lama.

Minggu lalu, sebuah majalah wanita Vatican menyelar kes penderaan seksual yang dilakukan oleh paderi terhadap biarawati hingga memaksa mereka menggugurkan kandungan.

Isu itu menjadi panas pada tahun lalu selepas seorang biarawati menuduh biskop di India merogolnya berulang kali yang menyebabkan berlakunya bantahan kemarahan terhadap gereja Katolik di negara itu.

Disiarkan pada: February 6, 2019 @ 10:55pm
d