global

Ribuan penduduk terputus bekalan elektrik

Oleh AFP

SYDNEY: Ribuan kediaman di sini terputus bekalan elektrik selepas taufan melanda bandar raya terbesar di Australia itu, menyebabkan kesesakan lalu lintas dan kenderaan ditenggelami air, hari ini.

Hujan lebat dan ribut petir melanda sebahagian Sydney semalam dengan jumlah hujan sebanyak 60 milimeter di beberapa kawasan.

Di bahagian barat Sydney yang turut dilanda banjir kilat, hujan turun hampir 42 milimeter dicatatkan dalam tempoh 30 minit.

“Ribut bergerak perlahan dengan udara lembap tapi hangat di sepanjang pantai sekaligus meningkatkan kadar kelembapan,” kata jurucakap Biro Meteorologi New South Wales, Byron Doyle.

Imej kereta ditenggelami air di jalan utama, lampu isyarat tidak berfungsi dan pokok tumbang kini tular di media sosial.

Sementara itu, syarikat tenaga melaporkan lebih 40,000 pelanggannya terjejas selepas bekalan elektrik terputus tengah malam tadi, kini hanya lebih 5,000 penduduk menunggu tenaga elektrik dipulihkan.

Perkhidmatan kecemasan pula menangani lebih 1,000 panggilan yang meminta bantuan, termasuk sembilan untuk kes banjir di sekitar Sydney.

Disiarkan pada: February 9, 2019 @ 3:14pm
d