global

Adik tidak restu

Oleh Reuters

Bangkok: Hasrat Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barnavadi untuk menjadi perdana menteri Thailand berkubur selepas pencalonannya dihalang oleh adiknya yang juga Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn.

Ubolratana mengejutkan Thailand kelmarin apabila diumumkan bertanding dalam pilihan raya umum negara itu pada 24 Mac depan dan menjadi calon perdana menteri untuk parti yang menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Sekiranya pencalonannya diterima, Ubolratana bakal berdepan parti disokong tentera yang diketuai Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha yang sebelum ini diramal bakal memenangi pilihan raya berkenaan.

Tentera sebelum ini dilihat mendapat sokongan Istana manakala Thaksin pula dibenci golongan elit dan kaya di negara itu.

Bagaimanapun, Vajiralongkorn, 66, segera mengeluarkan kenyataan yang membayangkan dia tidak bersetuju dengan tindakan kakaknya itu.

“Pencalonan Ubolratana adalah tidak sesuai dan bertentangan dengan semangat perlembagaan untuk keluarga diraja terbabit dalam politik,” kata kenyataan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa penuh meluluskan pencalonan berkenaan tetapi mustahil anggota badan itu tidak mengendahkan pengaruh kuat raja dalam membuat sesuatu keputusan.

Parti Thai Raksa Chart yang mencalonkan Ubolratana sebagai perdana menteri berkata, parti itu akan menghormati pandangan raja dan akan patuh dengan peraturan pilihan raya dan tradisi diraja.

Suruhanjaya Pilihan Raya yang memantau proses demokrasi pertama sejak rampasan kuasa tentera pada 2014 memberitahu, keputusan mengenai pencalonan itu akan diumumkan esok.

Sementara itu, Ubolratana dalam satu kenyataan di laman Instagram miliknya mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya dan mahu Thailand bergerak ke depan tanpa mengulas mengenai pencalonannya.

Disiarkan pada: February 10, 2019 @ 6:03am
d