global

Mati dipukul bapa tiri

Oleh Agensi

JAKARTA: Seorang bapa bertindak memukul anak tirinya berusia 2 tahun sehingga mati ketika di bawah pengaruh alkohol, di Sukamaju Baru di Depok, Jawa Barat.

Menurut The Jakarta Post, Hary Kurniawan, 25, mengakui kejadian berlaku ketika dia di bawah pengaruh alkohol selain menghadapi tekanan kewangan, lapor The Jakarta Post.

“Saya hanya menamparnya, tetapi tidak menyangka membawa kepada kematiannya,” katanya kepada pihak berkuasa Depok semalam, dipetik kompas.com.

Insiden yang berlaku pada Jumaat lalu dilaporkan oleh jiran yang juga saksi kejadian manakala ketika itu, ibu kandung mangsa, Eni, 18, sedang bekerja.

Pasangan itu masing-masing memiliki anak perempuan daripada perkahwinan terdahulu dan Harry menuduh Eni tidak menyayangi anaknya.

“Isteri saya memberi layanan berbeza dengan anak perempuan kami yang berusia 3 tahun,” katanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Depok, Arya Perdana, berkata pasangan itu bertengkar beberapa hari sebelum itu.

“Hary berdepan hukuman penjara 20 tahun jika sabit kesalahan,” katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2019 @ 4:00pm
d