global

Pilihan raya Nigeria ditangguh seminggu

Oleh Agensi

Abuja: Pilihan raya presiden dan parlimen Nigeria secara mendadak ditangguhkan selama seminggu, lima jam sebelum orang ramai sepatutnya mula mengundi, semalam.

Menurut AFP, suruhanjaya pilihan raya negara itu memberi alasan masalah logistik, pelan operasi serta bagi menjamin pilihan raya diadakan secara adil dan bersih menyebabkan ia ditangguh kepada 23 Februari.

Pengerusi Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya Kebangsaan (INEC), Mahmoud Yakubu berkata, penangguhan itu keputusan yang sukar kepada suruhanjaya namun perlu bagi menjamin kejayaan pilihan raya.

Beberapa negeri di Nigeria, negara Afrika paling ramai penduduk itu masih belum menerima kertas undi sehingga semalam, beberapa jam sebelum pilihan raya sepatutnya bermula.

Al Jazeera melaporkan, ramai penduduk yang tidak tidur menunggu perkembangan pilihan raya berang degan keputusan itu.

“Memalukan. Bagaimana kita hendak beritahu dunia? Nigeria ada empat tahun untuk merancang tetapi tidak sampai 24 jam sebelum pengundian bermula, kita kata ada masalah logistik.

“Saya marah sekarang. Saya tangguh urusan perniagaan untuk datang ke Abuja bagi mengundi dan kini terpaksa tangguhkan lagi untuk mengundi minggu depan,” kata ahli perniagaan, Stephen Akpan.

Sementara itu, parti pembangkang utama, Parti Demokratik Rakyat (PDP) membantah tindakan menangguhkan pilihan raya itu yang dianggap sebagai manipulasi parti pemerintah, Kongres Kemajuan Penuh (APC).

Presiden Muhammadu Buhari, 76, yang mempertahankan jawatannya untuk penggal kedua, menghadapi saingan sengit daripada calon pembangkang, bekas timbalan presiden Atiku Abubakar, 72.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 6:07am
d