global

9 maut dalam kebakaran rumah setinggan

Oleh AFP

CHITTAGONG : Kira-kira 9 orang maut termasuk empat keluarga dan lebih 50 lagi cedera dalam satu kebakaran yang memusnahkan lebih 470 rumah setinggan di sini, hari ini.

Kebakaran di bandar pelabuhan Chittagong, selatan Bangladesh itu berlaku sekitar 3.30 pagi, kata ketua polis tempatan Pranab Chowdhury.

“Sekurang-kurangnya 470 rumah setinggan dihancurkan oleh kebakaran, setakat ini 9 orang meninggal dunia, termasuk empat anggota keluarga," kata pegawai bomba Hefazatul Islam kepada AFP.

Kebakaran sering berlaku di kawasan setinggan Bangladesh, yang didiami jutaan penduduk dan hidup dalam keadaan miskin.

Kumpulan hak asasi pada masa lalu mendakwa pelbagai kekacauan sengaja ditimbulkan di kawasan setinggan oleh pihak pemaju yang ingin mensabotaj penduduk agar dapat menguasai hartanah untuk membina bangunan berbilang tingkat.

“Kebakaran sering dijadikan senjata untuk mereka mengusir penduduk miskin dan setinggan dari hartanah kerajaan atau swasta,” kata aktivis hak asasi Nur Khan Liton kepada AFP.

Disiarkan pada: February 17, 2019 @ 9:44pm
d