global

Salji hitam turun di Russia [VIDEO]

Oleh Agensi

Moscow: Penduduk di dua buah bandar di Russia gempar selepas mendapati salji yang turun di kawasan itu bertukar menjadi hitam.

Media tempatan melaporkan, penduduk di bandar Kiselevsk dan Prokopyevsk di wilayah Kuzbass terkejut ketika bangun pagi pada minggu lalu apabila mendapati timbunan salji hitam di halaman rumah dan kenderaan mereka.

Bagaimanapun, salji hitam itu bukan satu fenomena luar biasa tetapi berpunca daripada pencemaran udara yang biasa berlaku di bandar yang terletak di kawasan lombong arang batu.

Penduduk di bandar itu turut berkongsi gambar dan video yang dikongsi di media sosial serta melahirkan kebimbangan udara di kawasan berkenaan.

Gambar dan video itu menunjukkan salji hitam kelihatan bertimbun di halaman rumah, padang, jalan raya, pokok dan kenderaan.

Penduduk juga mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap lombong arang baru yang didakwa menjadi punca utama pencemaran tetapi pihak berkuasa memberitahu, masalah itu lebih kompleks.

Timbalan Gabenor Kemerovo, Andrey Panov berkata, kerana pembinaan saluran gas masih perlahan, kebanyakan bangunan masih bergantung kepada arang batu untuk sistem pemanasan dan ia bermakna kediaman serta perniagaan turut menyumbang kepada pencemaran udara.

Tambah Panov, asap kenderaan juga memburukkan lagi pencemaran di bandar berkenaan.

Disiarkan pada: February 18, 2019 @ 12:04pm
d