global

Kapal angkasa pertama Israel ke bulan

Oleh Reuters

CAPE CANAVERAL: Kapal angkasa pertama Israel ke bulan dijangka berlepas dari Florida, esok dalam misi bulan pertama tajaan pihak persendirian, memandangkan negara Yahudi itu mahu menjadi negara keempat yang sampai ke bulan.

Robot penjelajah yang dinamakan ‘Beresheet’ dalam bahasa Hebrew bermaksud permulaan, dijangka berlepas dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral pada jam 8:45 malam (waktu tempatan) menerusi roket Falcon 9 hasil pembuatan syarikat Elon Musk SpaceX.

Satelit seberat 585 kilogram (kg) itu mempunyai saiz seperti mesin basuh pinggan mangkuk dibina atas usaha sama syarikat bukan berteraskan keuntungan SpaceIL dan kontraktor pertahanan kerajaan Israel Aerospace Industries (IAI) dengan keseluruhan kos bernilai AS$100 juta (RM407 juta) oleh dana pihak persendirian.

Jika pelancaran itu berjaya, Beresheet dijangka tiba di bulan pada April depan, selepas perjalanan selama dua bulan sejauh 6.5 juta kilometer (km).

Setakat ini, hanya Amerika Syarikat, Kesatuan Soviet dan China sahaja berjaya melakukan pendaratan pesawat di permukaan bulan.

Disiarkan pada: February 20, 2019 @ 9:14pm
d