global

Speaker Kongres antara sasaran

Oleh AFP

WASHINGTON: Speaker Kongres Amerika Syarikat dari Demokrat, Nancy Pelosi, antara mereka yang berada dalam senarai untuk dibunuh oleh seorang pegawai pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat yang merancang melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Christopher Paul Hasson, 49, ditahan hujung minggu lalu, di pinggir bandar raya ini dan pihak berkuasa menemui pelbagai jenis senjata api, termasuk 15 pistol dan lebih 1,000 peluru disembunyikan di bilik bawah tanah rumah lelaki itu di Silver Spring, Maryland.

Pihak berkuasa juga menemui senarai sasaran untuk dibunuh lelaki itu, termasuk Nancy, pemimpin kanan Senat Demokrat Chuck Schumer dan wakil Demokrat Alexandria Ocasio-Cortez.

Dia juga memasukkan personaliti media dalam senarai berkenaan, termasuk penyampai CNN Don Lemon dan Chris Cuomo serta penyampai MSNBC Chris Hayes dan Joe Scarborough.

Menurut peguam daerah, Robert Hur, lelaki terbabit memuja pembunuh Norway, Anders Breivik yang pernah melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Breivik ialah pengganas berhaluan kanan yang didapati bersalah pada 2012 kerana membunuh 77 orang.

Hurr berkata, Hasson menggambarkan dirinya sebagai nasionalis kulit putih sejak 30 tahun lalu dan menyokong keganasan berfokus untuk mewujudkan negara hanya untuk kulit putih.

Lelaki itu mula mengumpul senjata api sejak 2017 dan dipercayai turut berusaha mendapatkan senjata biologi.

“Defendan berniat membunuh orang awam dalam skala yang jarang dilihat di negara ini.

“Dia adalah pengganas domestik yang berazam melakukan perbuatan berbahaya kepada kehidupan manusia,” kata Hur.

Hasson yang berpangkat leftenan, bertugas di ibu pejabat Pengawal Pantai di Washington sejak 2016 selepas bersara daripada tentera Marin pada 1993, akan dihadapkan ke mahkamah di Maryland, hari ini.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 9:50am
d