global

Gagal ujian alkohol, penumpang terkandas

Oleh AFP

TOKYO: Seramai 322 penumpang pesawat domestik All Nippon Airways (ANA) terkandas lebih sejam di Kobe, Jepun pada Selasa lalu gara-gara pembantu juruterbang gagal ujian alkohol selepas syarikat itu melaksanakan peraturan baru.

AFP melaporkan, pembantu juruterbang itu dijadualkan melakukan penerbangan dengan pesawat Boeing 777 dari Kobe ke lapangan terbang Haneda, Tokyo.

Bagaimanapun, dia gagal ujian alkohol selepas minum satu tin bir dan minuman spirit di bilik penginapannya kira-kira enam jam sebelum berlepas.

Penerbangan itu terpaksa ditunda lebih sejam sementara syarikat itu menggantikan pembantu juruterbang lain.

Kes itu adalah yang terbaru selepas Jepun memperkenalkan undang-undang baru menghalang juruterbang mengambil minuman beralkohol berikutan beberapa kejadian membabitkan kru penerbangan sebelum ini.

ANA dalam kenyataannya berkata, syarikat itu akan mengambil tindakan tegas dengan semua juruterbang dan pembantunya diharamkan mengambil minuman alkohol dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas.

Tahun lalu, pembantu juruterbang Japan Airlines yang ditahan di Britain, dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan kerana dikesan mempunyai kandungan alkohol dalam badan 10 kali lebih tinggi berbanding had dibenarkan.

Disiarkan pada: February 22, 2019 @ 7:01pm
d