global

Tak berbaloi langsung

JAKARTA: Kononnya terlupa membayar beg jenama Gucci bernilai RM1,250 (RM5,094), seorang pelancong Australia kini berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun kerana mencuri barangan mewah itu dari butik bebas cukai di Kuta, Bali.

Bilal Kalache, 42, mengaku tidak bersalah mencuri beg itu pada Khamis lalu, sebaliknya mendakwa pekerja butik membenarkannya membuat pembayaran di lapangan terbang Bali.

Kalache yang kini ditahan di penjara Kerobokan kemudian memberi alasan terlupa membuat pembayaran selepas pekerja butik berkenaan meminta dia meninggalkan premis dengan segera, susulan satu pertengkaran antara mereka.

Dalam kejadian jam 4 petang, 10 Januari lalu, Kalache bersama anak lelakinya dan seorang rakan mengunjungi butik berkenaan dan menunjukkan minat terhadap sebuah beg Gucci berwarna hitam di ruang pameran.

Ketika pekerja ke belakang butik untuk mengambil beg yang dipesan, Kalache mengambil beg sandang lain dan menyandangnya.

Bagaimanapun, pertengkaran kecil tercetus antara rakannya dengan pekerja butik ketika dia mahu membuat pembayaran, dan Kalache keluar dari butik berkenaan tanpa membayar untuk beg disandangnya.

Pekerja butik keluar mencarinya, termasuk menghubungi alamat penginapannya. Susulan itu, Kalache ditahan ketika menghantar anaknya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai beberapa jam kemudian.

Disiarkan pada: February 23, 2019 @ 10:06pm
d