global

Lelaki ditembak cuba rampas pesawat

Oleh AFP

CHITTAGONG: Komando Bangladesh berjaya menggagalkan cubaan seorang lelaki bersenjata merampas sebuah pesawat penumpang yang dijadualkan melakukan penerbangan ke Dubai, semalam.

AFP yang memetik jurucakap tentera berkata, suspek yang berusia 20an itu ditembak mati ketika pasukan khas menyerbu masuk ke dalam pesawat terbabit sebaik ia mendarat di lapangan terbang di Chittagong.

Menurutnya, semua 134 penumpang dan 14 kru dalam pesawat Bangladesh Biman BG147 dilaporkan selamat.

Sementara itu, jurucakap tentera, Mejar Jeneral Motiur Rahman berkata, suspek yang dikenal pasti sebagai ‘Mahadi’ itu meninggal dunia selepas ditahan pihak berkuasa.

“Pasukan komando mengarahkan dia menyerah diri namun dia enggan berbuat demikian, malah bertindak agresif sebelum ditembak mati,” katanya.

Jelasnya, siasatan akan dilakukan untuk mencari punca bagaimana suspek boleh melepasi pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang dengan membawa sepucuk pistol.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 10:46am
d