global

Gading dan ekor gajah jadi buruan

Oleh AFP

Phnom Penh: Seekor gajah liar ditemui mati dengan gading dan ekornya dipotong di taman perlindungan hidupan liar di Kemboja, menjadikan jumlah haiwan itu berkurangan kepada beberapa ratus sahaja akibat pemburuan haram dan penebangan hutan.

Jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Neth Pheaktra, berkata gajah Asia jantan itu ditemui semalam di taman perlindungan hidupan liar di wilayah timur laut Mondulkiri.

“Gading gajah itu hilang manakala ekornya dipotong dan ia disahkan mati sejak 10 hari lalu.

“Terdapat luka tembakan di bawah mata kanannya. Pihak berkuasa masih menjejak pemburu haram itu,” katanya kepada AFP.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Asia Tenggara muncul sebagai pusat transit utama perdagangan hidupan liar yang berharga berbilion dolar, susulan permintaan tinggi dari China dan Vietnam ke atas gading, sisik tenggiling dan tanduk badak.

Organisasi bukan berteraskan keuntungan (NGO) penyelamat haiwan, Projek Mondulkiri melaporkan terdapat kira-kira 400 gajah di hutan Kemboja dan hampir 50 gajah dalam kurungan.

Pada Disember tahun lalu, pihak berkuasa Kemboja berjaya merampas lebih seribu gading gajah disembunyikan di dalam kontena yang dihantar dari Mozambique, rampasan terbesar di negara itu.

Disiarkan pada: February 25, 2019 @ 11:43pm
d