global

Israel bermain api : Jordan

Oleh Agensi

BAITULMAQDIS: Sejak penduduk Islam memasuki kawasan Masjidil al-Aqsa melalui Bab al-Rahma dan bersolat Jumaat, minggu lalu, pihak berkuasa Israel berterusan melakukan penahanan dan sehingga kini, dianggar lebih 60 penduduk Palestin sudah ditahan.

Jumaat lalu, Presiden Majlis Waqf, Sheikh Abdel-Azeem Salhab, bertindak membuka Bab al-Rahma dengan menanggalkan rantai dan mangga dipasang Israel membolehkan ribuan penduduk Palestin memasuki kawasan berkenaan sebelum mereka menunaikan solat Jumaat.

Majlis Waqf ialah jawatankuasa di bawah kerajaan Jordan yang diberi kuasa mentadbir Masjidil al-Aqsa mengikut perjanjian damai Israel-Jordan. Melalui perjanjian itu, umat Islam boleh memasuki Masjidil al-Aqsa untuk beribadat manakala Yahudi hanya boleh mengunjungi kawasan tertentu namun tidak boleh beribadat.

Menurut laporan AFP, Salhab bagaimanapun, dibebaskan polis Israel namun beliau dilarang memasuki kawasan Masjidil al-Aqsa selama tujuh hari.

Menteri Hal Ehwal Islam Jordan, Abdul Nasser Abu al-Basal, berkata Israel ‘bermain dengan api’ kerana menahan Salhab.

Bab al-Rahma, pintu terbesar dan paling cantik ialah satu daripada empat pintu masuk Masjidil al-Aqsa yang turut digelar Gerbang Emas oleh penganut Kristian dan Gerbang Ihsan oleh Yahudi.

Pintu itu diberi nama Rahmah kerana ia tempat Nabi Muhammad SAW berdoa memohon keampunan Allah.

Israel menutup pintu itu sejak 2003, mendakwa pertubuhan yang menguruskan kawasan terbabit ada hubungan dengan Hamas selain bertujuan menghalang jawatankuasa tadbiran Masjidil al-Aqsa menjadikannya kawasan untuk beribadat.

Namun, penduduk Palestin dan dunia Islam percaya Israel berbuat demikian dalam usahanya membina rumah ibadat Yahudi dalam halaman Masjidil al-Aqsa berdekatan Bab al-Rahma.

Pusat Infomasi Palestin menegaskan, Israel perlahan-lahan mahu menguasai Baitulmaqdis dalam usahanya membina rumah ibadat mereka selepas mendakwa Masjidil al-Aqsa dibina di atas runtuhan Rumah Ibadat Sulaiman.

“Menutup Bab al-Rahma adalah antara usaha itu dan tindakan penduduk Palestin memasuki kawasan berkenaan adalah sebagai peringatan Masjidil al-Aqsa masih milik umat Islam,” kata petikan artikel pusat berkenaan.

Pihak berkuasa Israel kini sudah menutup kembali Bab al-Rahma dengan memasang rantai serta mangga baharu.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 6:00am
d