global

You Tube, Pinterest buang kandungan anti-vaksin

Oleh AFP

WASHINGTON: You Tube dan aplikasi Pinterest mengambil langkah menyekat kandungan yang menyebar maklumat salah mengenai amalan pemvaksinan kepada pengguna.

Pinterest mengesahkan kepada AFP bahawa ia sudah mengubah dasar berkenaan pada tahun lalu mengenai kandungan anti-vaksin, seperti yang didedahkan minggu lalu dalam Wall Street Journal.

Syarikat itu berkata, ia mula menyekat carian tertentu berhubung pemvaksinan dan penawar kanser kerana penyebaran maklumat yang salah itu boleh memberi kesan buruk kepada orang ramai.

“Kita mahu aplikasi ini membantu pengguna dan maklumat salah tidak memberi sebarang kebaikan. Kita akan terus berusaha mengeluarkan maklumat salah seperti ini dari platform dan enjin carian kami,” kata jurucakapnya.

Jumaat lalu, You Tube turut mengumumkan laman itu sudah mengeluarkan video iklan anti-vaksin dari platform berkenaan.

“Kita mempunyai polisi ketat terhadap kandungan iklan yang dipaparkan di setiap video dan video yang mempromosikan anti-vaksin melanggar dasar pengiklanan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Rangkaian media sosial di Amerika Syarikat dan negara lain berdepan tekanan kritikan apabila dikatakan bertanggungjawab terhadap kewujudan kelompok anti-vaksin.

Dilaporkan terdapat 159 dijangkiti demam campak di negara itu sejak awal tahun ini termasuk 65 kes di daerah Clark, Washington dan kebanyakannya membabitkan kanak-kanak yang tidak diberi vaksin.

Disiarkan pada: February 26, 2019 @ 12:14pm
d