global

4 maut dalam serangan di Kashmir

Oleh AFP

MUZAFFARABAD: Empat orang termasuk dua kanak-kanak maut manakala beberapa mangsa dilaporkan cedera dalam insiden berbalas serangan antara tentera India dan Pakistan di Kashmir, semalam.

“Peluru mortar terkena sebuah rumah di Nakyal yang terletak di Loc iaitu garisan gencatan senjata menyebabkan seorang ibu terbunuh bersama dua anaknya manakala tiga yang lain cedera,” kata jurucakap pengurusan bencana tempatan, Shariq Tariq kepada AFP.

Shariq berkata, peluru mortar yang turut dibedil di kawasan lain berhampiran Nakyal turut mengakibatkan seorang lagi wanita maut manakala tujuh yang lain cedera.

Kejadian itu berlaku selepas India melancarkan serangan udara dan membedil kem militan dalam wilayah Kashmir tadbiran Pakistan, susulan pengeboman yang membunuh 40 polis separa tentera, awal bulan ini.

Pakistan menganggap India membuat cerita rekaan apabila mendakwa serangan udara terbabit menyebabkan militan yang bertanggungjawab dalam serangan 14 Februari itu terbunuh dan pihaknya akan bertindak balas dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 10:29am
d