global

Lebih 60 pelombong dikhuatiri tertimbus

Oleh Reuters

JAKARTA: Seorang pelombong haram ditemui mati manakala lebih 60 lagi dikhuatiri tertimbus selepas lombong yang digali runtuh dalam kejadian di Sulawesi, Indonesia.

Reuters yang memetik agensi bencana Indonesia berkata, runtuhan di sebuah lombong haram emas itu dilaporkan berlaku petang semalam sebelum mayat mangsa ditemui kira-kira jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, seramai 13 pelombong sempat diselamatkan dalam kejadian di Bolaang Mongondow, wilayah Sulawesi Utara itu.

“Runtuhan berlaku selepas papan yang dipijak ketika melombong tiba-tiba patah akibat keadaan tanah tidak stabil.

“Usaha menyelamatkan mangsa diteruskan hingga malam kerana jumlah mangsa tertimbus agak ramai,” kata jurucakap agensi bencana, Sutopo Purwo Nugroho.

Beberapa gambar yang diedarkan oleh agensi menunjukkan anggota penyelamat dan penduduk kampung berusaha mengeluarkan mangsa yang tertimbus di kawasan berlumpur berhampiran lokasi kejadian.

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 10:58am
d