global

Ruang udara tutup jejas penerbangan

Oleh AFP

ISLAMABAD: Pelbagai penerbangan dibatalkan atau dilencongkan hari ini selepas Pakistan menutup ruang udaranya dan India menutup lapangan terbang, dalam pada ketegangan antara dua negara jiran berkuasa nuklear itu mencetuskan kebimbangan konflik besar-besaran.

Penutupan itu susulan Pakistan mendakwa menembak jatuh dua jet pejuang tentera udara India di ruang udara Kashmir, manakala India berkata, ia menembak sebuah pesawat pejuang Pakistan namun turut kehilangan satu kapal terbangnya.

Gangguan laluan udara itu menjejaskan penerbangan yang melalui rantau itu, yang popular dalam kalangan pelancong Barat, dengan badan industri mendakwa sejumlah besar penerbangan ke Asia Tenggara juga mungkin perlu dilencongkan.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Pakistan dan tenteranya berkata, keseluruhan ruang udara negara itu ditutup, dengan sumber memberitahu AFP bahawa semua penerbangan diarahkan ‘menggantung operasi di Pakistan sehingga notis lanjut.’

Di India, sekurang-kurangnya enam lapangan terbang ditutup - Srinagar, Jammu dan Leh di Kashmir selain Amritsar, Chandigarh serta Dehradun. Sejumlah besar ruang udara di utara New Delhi turut ditutup kepada penerbangan awam.

Puluhan penerbangan termasuk antara Asia serta Eropah yang lazimnya melintasi ruang udara Kashmir dibatalkan, kata pegawai syarikat penerbangan yang enggan identiti didedahkan.

Pihak berkuasa penerbangan India tidak mengulas isu itu.

Berita berkaitan

2 jet pejuang India ditembak

4 maut dalam serangan di Kashmir

India bohong

Pakistan tuduh India ceroboh ruang udara

Disiarkan pada: February 27, 2019 @ 9:14pm
d