global

Drama berterusan

Oleh Agensi

ISLAMABAD: Ketegangan di Kashmir semakin meningkat apabila dua jet pejuang India ditembak jatuh tentera Pakistan di dalam ruang udaranya semalam, dengan seorang juruterbang terbabit ditahan.

Reuters memetik jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor berkata, satu daripada jet berkenaan ditembak jatuh di Kashmir wilayah tadbiran India manakala satu lagi di kawasan mereka.

“PAF menembak jatuh dua jet pejuang India dalam ruang udara Pakistan,” katanya menerusi akaun Twitter.

Bagaimanapun, Asif kemudian menegaskan pihaknya ‘tidak mahu berperang’ dengan India.

Kejadian itu tidak disahkan kerajaan India, namun sebelum itu New Delhi mengumumkan dua pesawatnya terhempas di Kashmir, di dalam sempadan negaranya.

Pada masa sama, sumber India turut mengesahkan pesawat pejuang menceroboh ruang udara India di Kashmir tetapi dipaksa berpatah balik.

Awal semalam, empat orang awam termasuk dua kanak-kanak terbunuh dalam kejadian berbalas serangan antara pasukan keselamatan India serta Pakistan di Kashmir.

“Peluru mortar terkena sebuah rumah di Nakyal yang terletak di Loc iaitu garisan gencatan senjata menyebabkan seorang ibu terbunuh bersama dua anaknya manakala tiga yang lain cedera,” kata jurucakap pengurusan bencana tempatan, Shariq Tariq kepada AFP.

Shariq berkata, peluru mortar membedil kawasan lain berhampiran Nakyal turut membunuh seorang lagi wanita dan mencederakan tujuh yang lain.

Sementara itu, syarikat penerbangan di India membatalkan penerbangan ke enam bandar di utara negara terbabit manakala beberapa lapangan terbang terpaksa ditutup susulan perkembangan terbaru yang membimbangkan.

Ketegangan di rantau itu meningkat sejak serangan yang membunuh 40 polis separa tentera India, dua minggu lalu.

Disiarkan pada: February 28, 2019 @ 11:31am
d