global

PBB dakwa Israel lakukan jenayah kemanusiaan

Oleh Reuters

Geneva/Baitulmaqdis: Pasukan keselamatan Israel mungkin melakukan jenayah perang dan jenayah ke atas kemanusiaan dalam pembunuhan 189 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 6,100 lain dalam bantahan mingguan di Gaza tahun lalu, kata penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Panel bebas itu berkata, ia memiliki maklumat sulit mengenai pihak yang dipercayai bertanggungjawab atas pembunuhan tanpa undang-undang, termasuk penembak hendap Israel dan komander. PBB menggesa Israel menghukum pihak disebutkan.

“Pasukan keselamatan Israel membunuh dan mencacatkan penunjuk perasaan Palestin yang tidak memberi ancaman atau mencederakan secara serius yang lain ketika mereka ditembak, walaupun tidak terbabit secara langsung dalam demonstrasi itu,” katanya menambah bantahan ketika itu ‘terkawal.’

Mangsa termasuk kanak-kanak, wartawan dan individu kelainan upaya serta berkerusi roda.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak laporan itu dan menuduh Majlis Hak Asasi Manusia PBB, yang melancarkan siasatan sebagai hipokrit dan berbohong disebabkan ‘kebencian melampau terhadap Israel.’

Israel berkata, pasukannya melepaskan tembakan untuk melindungi sempadan daripada pencerobohan dan serangan pejuang bersenjata.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, penemuan itu mengesahkan, ‘Israel melakukan jenayah perang ke atas rakyatnya di Gaza dan Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis.’

Mahmoud berkata, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sepatutnya bertindak segera dan menyiasat perkara itu.

Protes di sempadan antara Israel dan Semenanjung Gaza bermula Mac tahun lalu, apabila penduduk menuntut Israel melonggarkan sekatan di wilayah itu serta pengiktirafan hak kembali ke tanah yang mana keluarga mereka diusir ketika negara Yahudi itu diasaskan pada 1948.

Panel itu mendapati, 183 daripada 189 penunjuk perasaan dibunuh dengan peluru hidup dan menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peraturan ditetapkan kepimpinan awam dan tentera yang jelas ‘membenarkan tembakan peluru hidup dilepaskan ke arah penunjuk perasaan sebagai jalan terakhir dan menembak kaki ‘penghasut utama.

Katanya, tanggapan Israel terhadap ‘penghasut utama’ tidak wujud dalam undang-undang antarabangsa. Tambahnya, kira-kira 122 mangsa yang cedera terpaksa dipotong anggota tubuh termasuk 20 kanak-kanak.

Tiada tentera Israel terbunuh dalam bantahan, kecuali seorang dan bukan di tapak bantahan, sementara empat lagi cedera, kata panel itu.

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 10:10am
d