global

AS buru anak Osama

Oleh AFP

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) kelmarin menawarkan ganjaran AS$1 juta (RM4.07 juta) untuk maklumat mengenai anak lelaki bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden dan menganggap lelaki itu sebagai pemimpin al-Qaeda.

Lokasi Hamza bin Laden yang turut digelar pengikutnya sebagai “putera mahkota jihad” masih misteri dan terdapat spekulasi dengan laporan mendakwa dia tinggal di Pakistan, Afghanistan, Syria dan diletakkan di bawah tahanan rumah di Iran.

“Hamza bin Laden adalah anak kepada bekas pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden dan adalah bakal pemimpin rangkaian pengganas itu,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Negara AS menawarkan AS$1 juta untuk sebarang maklumat yang membawa kepada lokasi Hamza di mana-mana negara.

Hamza yang dipercayai berusia sekitar 30-an pernah mengancam untuk menyerang AS sebagai membalas dendam terhadap pembunuhan bapanya pada 2011 ketika bersembunyi di Abbottabad, Pakistan.

Agensi perisikan AS melihat anak Osama itu sebagai pewaris kumpulan pengganas antarabangsa berkenaan terutama selepas penguasaan Daish di Syria dan Iraq berakhir.

Pada 2015, dalam satu mesej suara, Hamza menyeru kumpulan pemberontak di Syria supaya bersatu.

Setahun kemudian, Hamza mengikut jejak langkah bapanya dengan menyeru menumbangkan pemerintahan di Arab Saudi.

Selepas Osama mati ditembak askar elit AS, tiga isteri dan anak-anaknya dibenarkan pulang ke Arab Saudi tetapi Hamza menghilangkan diri.

Hamza dipercayai tinggal bersama ibunya di Iran tetapi pemerhati berpendapat dia ditahan di rumah untuk memberi tekanan kepada Arab Saudi dan Al-Qaeda supaya tidak menyerang negara itu.

Dia juga dipercayai berkahwin dengan anak perempuan Mohammed Atta yang mengetuai serangan terhadap AS pada 11 September 2001 yang membunuh 3,000 orang dan menyebabkan AS menceroboh Afghanistan. - AFP

Disiarkan pada: March 1, 2019 @ 6:04pm
d