global

Mula proses ekstradisi pegawai Huawei

Oleh Reuters

OTTAWA: Kerajaan Kanada seperti dijangka, hari ini meluluskan prosiding ekstradisi terhadap ketua pegawai kewangan Huawei Technologies ke Amerika Syarikat (AS) bagi berdepan tuduhan jenayah melanggar sekatan ke atas Iran, sekali gus mencetus kemarahan China.

Anak perempuan pengasas Huawei, Meng Wanzhou, ditahan di Vancouver Disember lalu dan kini diletakkan di bawah tahanan rumah.

Lewat Januari lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) mendakwa Wanzhou dan Huawei berkomplot untuk melanggar sekatan AS terhadap Iran.

Wanzhou dijangka hadir di mahkamah Vancouver pada 6 Mac, jam 10 pagi (waktu tempatan) bagi menentukan tarikh perbicaraan ekstradisi.

“Hari ini, Jabatan Kehakiman Kanada mengeluarkan satu arahan rasmi bagi meneruskan dan secara rasmi memulakan proses ekstradisi membabitkan kes Meng Wanzhou,” kata kerajaan dalam satu kenyataan.

China yang semakin terjejas hubungannya dengan Kanada, mengecam keputusan itu dan mengulangi tuntutan terdahulu supaya Wanzhou dibebaskan.

Pakar perundangan sebelum ini sudah meramalkan bahawa kerajaan Liberal Perdana Menteri Justin Trudeau akan memberi laluan kepada proses ekstradisi terbabit.

Ini kerana hubungan kehakiman yang cukup rapat antara Kanada dan Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: March 2, 2019 @ 10:35am
d