global

Pakistan halang kapal selam India

Oleh AFP

KARACHI: Pakistan hari ini, mendakwa ia berjaya menghalang kapal selam India daripada memasuki perairannya ketika ketegangan antara kedua-dua negara belum reda sejak Pakistan menembak jatuh pesawat penggempur negara jirannya itu.

“Tentera laut Pakistan menghalang kapal selam India daripada memasuki wilayah kami.

“Kapal selam itu tidak disasarkan untuk dibedil sejajar dengan dasar kerajaan mengekalkan keamanan,” kata jurucakap tentera laut Pakistan.

Menurut tentera laut Pakistan, kapal selam itu dikesan di perairan zon ekonomi eksklusif negara itu semalam, namun tidak menyatakan lokasinya.

Kenyataan itu turut menyiarkan rakaman video kapal selam berkenaan yang periskopnya kelihatan muncul dari laut dengan masa pada video itu tercatat 8.35 malam, Isnin.

India menafikan dakwaan Pakistan itu, dengan jurucakap tentera lautnya berkata: “Jika kapal selam kami memasuki perairan Pakistan, kenapa ia menampakkan persikopnya?”

Ketegangan antara kedua-dua negara bermula selepas 42 polis separa tentera India terbunuh akibat serangan bom nekad di Kashmir tadbiran India, 14 Februari lalu.

Pada 26 Februari lalu, pesawat India menggugurkan bom di Kashmir tadbiran Pakistan dan sehari kemudian, Pakistan menawan juruterbang tentera udara India selepas pesawatnya ditembak jatuh di wilayah itu.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 1:51am
d