global

Hari-hari terakhir Daish

Oleh Reuters

WILAYAH DEIR AL-ZOR, SYRIA: Selepas pertempuran paling sengit kelmarin, Angkatan Demokratik Syria (SDF) yang disokong Amerika Syarikat (AS) yakin dapat menghapuskan terus pengaruh Daish dari rantau Arab yang kini berlindung di kubu terakhir mereka.

Kira-kira 1,000 militan Daish masih bertempur di Baghouz yang terletak di tebing sungai Furat, timur Syria walaupun SDF yakin lokasi itu akan dapat ditawan dalam masa terdekat.

SDF yang mengetuai serangan itu memberitahu, seramai 200 militan Daish sudah menyerah diri tetapi kira-kira 1,000 lagi masih terus memberi tentangan.

Katanya, pihaknya hampir menawan Baghouz tetapi militan Daish masih menguasai beberapa kawasan kecil di bahagian barat dan melancarkan serangan gerila di lokasi yang ditawan SDF.

Baghouz yang mempunyai beberapa perkampungan dan tanah pertanian berhampiran sempadan Iraq adalah wilayah berpenduduk terakhir yang dikuasai Daish selepas kumpulan itu menawan sebahagian Iraq serta Syria sebelum mengisytiharkan pemerintahan khalifah pada 2014.

Tentera Syria semalam dilaporkan melancarkan serangan udara terhadap kedudukan Daish di al-Sukhna yang terletak antara Palymra dan Deir al-Zor sementara tentera darat menangguhkan kemaraan.

Sumber tentera memberitahu akhbar al-Watan, serangan udara itu disasarkan pada pergerakan Daish di timur Badiya iaitu jalan di padang pasir yang menghubungkan bandar al-Sukhna.

SDF mengurangkan serangan mereka kerana ramai orang awam yang sebelum ini dipercayai sudah dipindahkan masih terperangkap tetapi berikrar untuk menawan sepenuhnya kawasan berkenaan tidak lama lagi.

Ketua pejabat media SDF, Mostafa Bali berkata, seramai 200 militan Daish menyerah diri dan keluar dari kawasan itu bersama 3,000 orang awam apabila pihaknya membuka laluan untuk mereka melarikan diri.

“Sebelum pertempuran bermula, kami menganggarkan kekuatan Daish kira-kira 1,000 ke 1,500 anggota. Selepas tiga hari serangan berlangsung ramai antara mereka terbunuh dan kini kira-kira 200 yang lain menyerah diri.

“Kini kami menganggarkan jumlah mereka adalah 1,000 anggota atau kurang,” katanya.

Menurutnya, anggota Daish datang dari beberapa negara termasuk Uzbekistan dan Turkmenistan.

Tentera SDF berdepan ancaman periuk api, serangan bom kereta, serang hendap dan serangan berani mati ketika mara untuk menawan lokasi berkenaan pada Ahad lalu.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 10:31am
d