global

AS percaya penghapusan nuklear boleh dilaksana

WASHINGTON: Amerika Syarikat masih bersikap positif dengan Korea Utara apabila percaya program penghapusan nuklear akan dicapai menjelang saat akhir penggal pertama Presiden Donald Trump pada 2021, kata seorang pegawai kanan semalam.

AFP melaporkan, Washington percaya ia boleh dicapai biarpun sidang kemuncak di Hanoi, Vietnam dengan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un baru-baru ini gagal mencapai sebarang persetujuan.

Pegawai kanan mengesahkan kerajaan itu akan mendapatkan penjelasan daripada Pyongyang yang membina semula tapak pelancaran roket dan Amerika juga belum mendapat maklumat sebenar mengenai aktiviti terbaru berkenaan.

Laman web 38 North dan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa menggunakan imej satelit untuk mengesan aktiviti pembinaan di tapak itu yang dikatakan bermula sebelum sidang kemuncak itu.

Imej diambil pada 6 Mac lalu menunjukkan struktur rel untuk memindahkan roket ke tapak pelancar sudah siap dan ‘mungkin boleh beroperasi’.

Jong Un sebelum ini bersetuju untuk menutup Stesen Pelancar Satelit Sohae pada sidang kemuncak bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Pyongyang sebagai langkah untuk membina kepercayaan. -AFP

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 11:17am
d