global

Cucu keparat

Oleh Agensi

ALBANY (NEW YORK): Seorang cucu sanggup mencungkil mata neneknya sehingga buta kerana bertengkar disebabkan wang di Long Island, New York, Amerika Syarikat.

Mirror Online melaporkan, Michael Grief, 30, bertengkar dengan neneknya berusia 78 tahun di rumah mereka kerana didakwa menggunakan kad debit wanita itu untuk mengeluarkan wang sebanyak AS$1,000 (RM4,090) bulan lalu, kata polis.

Grief mengejar neneknya sehingga ke luar pintu dan menekan jari ke mata neneknya, satu demi satu sehingga darah keluar dari mata neneknya. Serangan itu menyebabkan bebola mata neneknya pecah.

Polis menahan Grief atas tiga tuduhan serangan ganas namun lelaki itu hanya menjawab ‘jadi?’ dengan sambil lewa sambil mengangkat bahu ketika dia ditahan.

Stesen televisyen tempatan ABC7 melaporkan, seorang jiran yang tidak mahu dikenali memberitahu: “Wanita itu berada di hadapan rumah dalam keadaan matanya dicungkil dan darah memenuhi mukanya. Dia memberitahu kami, dia tidak dapat melihat.

“Saya mendengarnya berkata, ‘Dia membutakan saya!’”

Grief ditahan dengan jaminan tunai AS$500,000 (RM2,045,509) atau bon AS$1 juta (RM4,091,019) dan sekiranya disabitkan kesalahan, dia akan dihukum penjara sehingga 25 tahun.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 10:52pm
d