global

Sejarah Alan Kordi berulang

Oleh Agensi

GREECE: Selepas mayat kanak-kanak pelarian Syria, Alan Kordi, ditemui terdampar di pantai Pulau Kos, Greece, empat tahun lalu, satu lagi mayat kanak-kanak pendatang ditemui di pantai Pulau Lesbos, juga di Greece, semalam.

Menurut laporan Athens News Agency, mayat kanak-kanak tanpa kepala itu sudah mula mereput dan dipercayai perempuan, berusia sembilan tahun.

Mangsa dipercayai penumpang sebuah bot yang karam di timur Lesbos, minggu lalu.

AFP melaporkan, mayat kanak-kanak itu ditemui penduduk tempatan di Pantai Vatera, Lesbos, dan menghubungi pihak berkuasa yang kemudian membawanya ke hospital untuk bedah siasat.

Dalam kejadian Khamis lalu, dua kanak-kanak antara tiga orang yang maut selepas bot membawa pendatang karam berdekatan Pulau Samos, Greece.

Lebuh 200 pelarian dan pendatang mati lemas ketika cuba menyeberangi Laut Mediterranean tahun ini, menuju ke Itali sebelum berhijrah ke negara lain di Eropah.

Pada 2 September 2015, dunia dikejutkan dengan penemuan mayat Alan Kordi, 3, ditemui terdampar di pantai Pulau Kos, Greece, selepas bot dinaiki bersama keluarganya karam.

Alan bersama keluarganya cuba berhijrah ke Eropah bersama pelarian Syria lain, melarikan diri dari peperangan.

Disiarkan pada: March 10, 2019 @ 9:17pm
d