global

'Wonder Woman' bersuara

Oleh AFP

BAITULMAQDIS: Bintang Hollywood, Gal Gadot mempertahankan tindakan aktres senegaranya Rotem Sela yang ditegur Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu selepas mengkritik layanan parti pimpinannya terhadap penduduk Arab negara itu.

Netanyahu dan parti Likud pimpinannya dituduh menggunakan taktik mencetuskan ketakutan dan memburuk-burukkan masyarakat Arab Israel menjelang pilihan raya 9 April ini dalam usaha mengukuhkan sokongan golongan haluan kanan terhadap mereka.

“Sayangilah jiran seperti kamu sayangi diri sendiri. Apa yang penting bukanlah haluan kiri atau kanan, Arab atau Yahudi, malah juga sekular atau alim.

“Apa yang penting adalah dialog. Dialog untuk keamanan dan keselamatan serta toleransi sesama kita. Rotem, kamu inspirasi untuk kami semua,” kata pelakon Wonder Woman itu yang juga kelahiran Israel di Instagram.

Rotem dikecam hebat di Internet selain ditegur Netanyahu susulan kenyataannya di Instagram mengutuk Menteri Kebudayaan Miri Regev yang memberi amaran supaya pengundi tidak memilih pembangkang utama kerana kononnya akan bersatu dengan parti Arab Israel di Parlimen.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 10:06pm
d