global

Apa punya mak...

Oleh Agensi

MOSCOW: Seorang budak perempuan berusia lima tahun yang kebuluran hampir ke tahap anoreksia diselamatkan dari rumahnya yang busuk dan kotor dipenuhi sampah serta lipas, dipercayai selepas diabaikan ibunya.

Malah disebabkan keadaan terlalu menjijikkan, polis terpaksa memakai sut perlindungan bahan kimia ketika memasuki rumah berkenaan untuk menyelamatkan budak yang diberi jolokan media Russia seperti ‘Mowgli’ iaitu watak budak dalam kisah Jungle Book yang dibesarkan serigala.

Ketika ditemui, kanak-kanak digelar Lyubov, bererti Sayang, terlalu nyahhidrat serta kebuluran, dan sedang duduk hanya memakai topi serta kemeja T tanpa seluar dalam, sambil menangis di sisi tingkap.

Rantai dipakainya juga sudah melekat dan separuh terbenam dalam kulitnya, manakala kanak-kanak itu langsung tidak boleh bercakap atau pandai berkomunikasi.

Lebih memilukan apabila Lyubov mengasingkan satu kawasan dalam timbunan sampah yang mereput untuk dijadikan tempat tidurnya dengan ditemani lipas.

Ibunya dikenal pasti sebagai Irina Garashchenko, 47, dilaporkan menghilangkan diri sejak beberapa hari, lapor Daily Mail. Wanita itu bagaimanapun pulang ke rumah berkenaan selepas Lyubov diselamatkan dan ditahan jirannya yang menyerahkannya kepada polis. Dia kini ditahan atas tuduhan cubaan membunuh.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 8:55pm
d