global

Gangguan terburuk dalam sejarah Facebook

Oleh AFP

San Francisco: Gangguan selama beberapa jam pada laman sosial terbesar dunia, Facebook yang berlaku semalam dan hari ini dianggap yang terbesar yang pernah dihadapi firma itu.

Ketika gangguan berterusan, jutaan pengguna membanjiri Twitter yang juga pesaing Facebook dan ruangan komen downdetector.com, laman web yang memantau laman web yang menghadapi gangguan.

“Saya tidak pernah melihat Facebook tergendala selama ini. Beberapa laman dan aplikasi milik Facebook juga mempunyai masalah,” kata seorang pengguna.

Peta di Downdetector pada lewat semalam menunjukkan perkhidmatan Facebook terjejas di Australia, Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Amerika Utara.

“11 jam dan gangguan di seluruh dunia masih berterusan. Ia sangat menyedihkan. Ia sesuatu yang serius bukannya satu jenaka atau untuk di `troll’,” kata seorang lagi pengguna.

Punca gangguan yang tidak diketahui puncanya turut menjejaskan aplikasi media sosial milik Facebook iaitu Messenger dan WhatsApp.

Beberapa media menganggap gangguan itu adalah yang terbesar dalam sejarah Facebook.

Firma yang berpangkalan di California dan mempunyai lebih dua bilion pengguna itu mengakui gangguan berkenaan selepas pengguna memberitahu di Twitter mereka tidak boleh membuka Facebook atau fungsinya menjadi terhad.

“Kami sedar sebilangan pengguna berdepan masalah mengakses Facebook dan keluarga aplikasinya. Kami berusaha menyelesaikan isu itu secepat mungkin,” kata Facebook dalam satu kenyataan di Twitter.

Tidak lama kemudian, Facebook memberitahu gangguan itu tidak berkaitan dengan serangan terhadap rangkaian media sosial berkenaan.

Berita berkaitan

Facebook perjelas gangguan di Twitter

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:03pm
d