global

Trump, Ratu Elizabeth kutuk serangan masjid di New Zealand

Oleh AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengutuk serangan dan pembunuhan beramai-ramai di dua masjid di New Zealand, ketika solat Jumaat hari ini, sehingga mengorbankan 49 orang.

Suspek utama, seorang lelaki kelahiran Australia berusia 28 tahun, didakwa menerbitkan ‘manifesto’ perkauman di media sosial sebelum melakukan serangan itu.

“Saya amat bersimpati kepada rakyat New Zealand, susulan serangan kejam di dua masjid itu. Seramai 49 orang meninggal dunia dalam keadaan yang tidak boleh diterima dengan ramai mangsa lain cedera.

“Amerika Syarikat bersama New Zealand memberi sokongan dalam semua bentuk yang diperlukan. Semoga Tuhan merahmati semua!” kata Trump di Twitter.

Dalam pada itu di London, Ratu Elizabeth II berkata, beliau amat sedih dengan serangan itu.

“Saya amat sedih dengan kejadian di Christchurch hari ini. Dalam waktu tragik sebegini, saya mendoakan semua rakyat New Zealand.

“Saya dan Putera Philip mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa yang meninggal dunia,” katanya.

Ratu Elizabeth, 92, adalah pemerintah diraja tertua dan paling lama berkhidmat di dunia, beliau adalah ratu kepada 15 negara selain Britain termasuk Australia, Kanada dan New Zealand.

Kali terakhir beliau berkunjung ke New Zealand pada 2002 sempena sebahagian sambutan pemerintahannya yang ke-50.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 9:05pm
d